• Antara 19 tertuduh judi sabung ayam yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tumpat, semalam.  
  • Antara 19 tertuduh judi sabung ayam yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tumpat, semalam.
19 termasuk 10 lelaki Siam, sembilan Melayu dan seorang warganegara Thailand masing-masing didenda RM200 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Tumpat di sini semalam selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan berjudi sabung ayam, Jumaat lalu.

Hukuman itu diputuskan oleh Majistret, Ahmad Adha Amir Yasser Amri terhadap 19 lelaki tersebut yang berumur antara 21 hingga 49 tahun yang mengaku melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 44(1)(g) Akta Binatang 1953.

Terdahulu, dua daripada mereka, Eh Sin A/L Erak, 36, dan Phi Shit A/L Eh Ron, 34, dikenakan hukuman denda RM3,000 atau enam bulan penjara kerana gagal menunjukkan Mykad ketika serbuan di sebuah kebun di Kampung Pasir Puteh Chabang Empat di sini.

Mengikut kertas pertuduhan, semua 19 tertuduh didakwa berjudi di sebuah kebun di Kampung Pasir Puteh, Chabang Empat di sini pada jam 5.30 petang Jumaat lalu.

Mereka yang dituduh ialah Kamaruphan A/L Eh Sau, 30; Mohamad Farek Haron, 23; Mohd Huzaimi Haron, 27; Mohd Azuan Haron, 29; Nopphakul A/L Eh Kiau, 21; Mohamad Zahari Osman, 42; Muhamad Ezham Padzilah, 22; Jasni Ramli, 49; dan Som Thi Eh Meran, 27.

Turut mengaku bersalah ialah Andie Chong A/L Hok Bi, 27; Sunchai A/L Eh Pung, 30; Pradit A/L Pit, 33; Eh Wan A/L Eh Lah, 44; Muhamad Sahudin Muhamad Makhtar, 24; Eh Nam A/L Eh Wan, 36; Phi Shit A/L Eh Ron, 34; Eh Sin A/L Erak, 36; Mohd Azhar Che Ibrahim, 30 dan seorang warganegara Thailand, Yaheh Yakoh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Mariyah Dahari.  Kesemua tertuduh membayar denda tersebut. 15 ayam sabung dilupuskan.

Akhbar ini Ahad lalu melaporkan seorang warga emas menemui ajal akibat serangan jantung selepas melarikan diri dari serbuan polis dalam kejadian judi sabung ayam di sebuah kebun rambutan di Kampung Kubang Panjang, Chabang Empat di sini.

Manakala 19 lelaki termasuk 10 lelaki Siam dan sembilan lelaki Melayu ketika leka berjudi sabung ayam di dalam kebun rambutan itu ditahan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip memberitahu, sebarang kegiatan judi adalah haram di daerah ini dan akan dibanteras di semua peringkat.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat akan mempertingkatkan gerakan untuk memerangi sebarang kegiatan judi haram habis-habisan di semua peringkat,” katanya. (www.sinarharian.com.my)