Oleh Ahmad Fuad Yahya
Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) berkata seorang rakyat Singapura dipercayai terbabit dalam mengatur perlawanan, dan rakan subahatnya daripada pelbagai negara ditahan dalam satu operasi Jumaat.
Dalam satu kenyataan, CPIB berkata badan itu secara proaktif memantau gejala menetapkan keputusan perlawanan bola sepak di Singapura, terutama dengan acara bola sepak Sukan SEA ke-28 yang dijadualkan bermula Jumaat.
Bertindak pantas berdasarkan maklumat diterima, CPIB melancarkan operasi pada lewat Khamis sehingga awal pagi Jumaat yang membawa kepada penangkapan kesemua suspek.
CPIB berkata beberapa anggota pasukan bola sepak Sukan SEA Timor Leste turut membantu biro berkenaan dalam siasatan tersebut.
Ia menyatakan siasatan masih diteruskan terhadap mereka yang ditahan atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah (Perenggan 241) itu.
CPIB berkata Singapura sentiasa mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap rasuah dan mengatur perlawanan dalam sebarang bentuk yang tidak diterima di negara itu.
Ia berkata CPIB tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat memberi, menerima atau menawar rasuah untuk menentukan keputusan perlawanan. Sementara itu, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Singapura (SINGSOC) dalam kenyataan pada Jumaat, mengulangi bahawa perlawanan bola sepak Kumpulan B antara Malaysia dan Timor Leste di Stadium Bishan Sabtu, akan berlangsung seperti dijadualkan. SINGSOC berkata keputusan itu dicapai selepas mereka mengadakan mesyuarat dengan pegawai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Timor Leste, selain mendapatkan pandangan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan juga Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).
"SEAGF dan SINGSOC mengambil pendirian tegas terhadap gejala mengatur perlawanan dan sebarang tindakan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mencemarkan nama Sukan SEA ke-28. Kami akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Singapura untuk membongkar gejala ini," kata SINGSOC. -- BERNAMA
Tidak ada komentar:
Posting Komentar