Bukan serah kepada polis semata-mata
Usaha
menggempur kegiatan perjudian online tidak sepatutnya diserahkan sepenuhnya
kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya memerlukan kerjasama pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ketua
Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan
berkata, tanpa kerjasama tiga pihak terbabit, adalah sukar untuk menghapuskan
kegiatan haram itu sehingga ke akar umbi.
Katanya,
polis tidak sepatutnya memandang remeh peranan NGO dan PBT dalam menangani
gejala itu dan wajar menjalinkan kerjasama yang lebih erat agar tindakan yang
lebih berkesan dapat diambil ke atas pemilik premis perjudian.
“Selama ini
polis dan PBT saling menuding jari dalam menangani isu perjudian sehingga
banyak pihak yang keliru pihak mana satukah yang sebenarnya ‘tidak buat kerja’.
“Polis dan
PBT sepatutnya bekerjasama termasuklah menerima pandangan daripada NGO-NGO
yang mewakili ahli masyarakat,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini
hari ini.
Beliau
mengulas kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk
Zainuddin Ahmad semalam yang menegaskan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri
Khalid Abu Bakar berkaitan tindakan membanteras mesin perjudian online sebelum
ini masih lagi berkuat kuasa.
Dalam
kenyataan itu, Zainuddin berkata, sejak Januari sehingga Julai 2015, sebanyak
418 premis diserbu, 1,291 orang ditahan dan 12,389 buah komputer beserta
peralatannya serta wang tunai sebanyak RM157,990 telah dirampas oleh polis.
Nadzim
menegaskan, polis, NGO dan PBT mempunyai peranan serta kelebihan tersendiri
yang boleh digabungkan menerusi satu pasukan dalam usaha menangani gejala itu
dengan lebih cepat serta berkesan.
“Polis
mempunyai bahagian perisikan dan bidang kuasanya sendiri, begitu juga dengan
PBT dengan bahagian penguat kuasa masing-masing manakala NGO pula menerima
banyak maklumat dan aduan daripada orang ramai. Semua elemen ini perlulah
digabungkan untuk tujuan tersebut,” katanya.
Sementara
itu, Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah
menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut
bekerjasama dengan polis, NGO dan PBT.
Katanya,
kerjasama daripada semua pihak yang terbabit akan memudahkan risikan, serbuan,
tangkapan serta pendakwaan di mahkamah dilakukan terhadap tauke-tauke premis
perjudian yang masih berdegil meneruskan kegiatan haram itu.
“Apabila
sudah ada persetujuan itu, maka satu jawatankuasa bersepadu bagi menggabungkan
kerjasama polis, NGO dan PBT dan juga SKMM bolehlah ditubuhkan supaya tindakan
tegas dengan segera dapat dilakukan.
“Ketika itu
tidak akan timbul lagi isu tuding menuding jari antara satu sama lain dan JMM
juga tidak perlulah lagi mengadu ke sana ke mari,” katanya,
- See more
at:
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/ngo-pbt-patut-gempur-judi-i-online-i-1.115660#sthash.3jFrUrzx.dpuf
Tidak ada komentar:
Posting Komentar