Senin, 16 Juni 2014

Bersepadu menangani judi bola sepak



SEBELUM tirai Piala Dunia 2014 disingkap, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia dengan kemungkinan judi bola sepak yang mungkin berlaku di negara kita membabitkan bookie yang mencari mangsa untuk aktiviti perjudian sepanjang temasya bola sepak itu berlangsung.
Satu pasukan khas PDRM telah ditubuhkan untuk menangani kes perjudian ini.
PDRM juga mula menjalankan siasatan dan pemantauan rapi termasuklah perjudian secara maya iaitu online.
Di samping itu kerjasama diberikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangani judi bola sepak. Malah, kerjasama akan diadakan dengan Interpol, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan beberapa pihak lagi memandangkan sindiket ini juga membabitkan perjudian antarabangsa.
Pada tahun 2010, ketika berlangsungnya Piala Dunia di Afrika Selatan, pengeluaran lesen bagi menjalankan operasi pertaruhan sukan dicadangkan kepada sebuah syarikat dengan harapan tidak berlaku perjudian dan pertaruhan haram.
Bagaimanapun, lesen berkenaan tidak dikeluarkan setelah mendapat bantahan banyak pihak.
Ekoran itu juga, Gerakan Rakyat Membantah Judi ditubuhkan pada 1 Jun 2010 untuk membanteras segala bentuk perjudian ketika Piala Dunia 2010 berlangsung.
Menurut PDRM, semasa berlangsungnya Piala Dunia 2010, sebanyak RM437 juta dikesan membabitkan wang pertaruhan.
Angka ini bukanlah sedikit dan pemantauan secara rapi mesti dilakukan untuk membendung gejala ini supaya tidak terus menular dalam kalangan kaki judi yang mahu mengaut keuntungan cara mudah dan cepat.
Pertaruhan atau perjudian bola sepak bukan hanya berlaku dalam kalangan orang dewasa dan kaki judi.
Budak-budak sekolah pun pandai bertaruh dan ini merupakan asas judi bagi mereka yang mula bertaruh seringgit dua kemudian membawa kepada puluhan dan ratusan ringgit jika ada kemampuan.
Di restoran-restoran, pelbagai bentuk pertaruhan dapat dilihat; bukan hanya dalam bentuk wang ringgit tetapi sampailah kepada belanja makan minum.
Ini juga asas pertaruhan yang memungkinkan berlakunya pertaruhan lebih besar jika ada kemahuan dan kerelaan antara pihak-pihak yang terbabit dengan perjudian.
Sikap tidak mahu 'sorak kosong' telah mencetus gejala baharu dalam sukan iaitu perjudian. Malah, tidak dinafikan sesetengah orang sanggup bertaruh apabila pasukan atau pasukan-pasukan kegemarannya bertanding.
Kita cukup bimbang, dalam pada orang lain sibuk dan penat bertarung untuk memenangi sesuatu perlawanan, pihak lain pula mengambil keuntungan atas angin daripada aktiviti sukan.
Kita juga bimbang, jika pertaruhan ini membabitkan pula pembelian sesuatu perlawanan, mutu sesuatu perlawanan itu akan jatuh merudum dan penonton seolah-olah tertipu dengan perlawanan yang sudah diatur kalah menangnya.
Tidak dinafikan bahawa kuasa wang cukup besar sehingga boleh berlaku pelbagai jenis penipuan, di samping wujud amalan rasuah yang boleh membawa kejatuhan sesuatu pasukan. Sebab itulah pelbagai pihak mesti bekerjasama membendung judi bola sepak dengan pelbagai kaedah untuk memastikan tidak ada unsur-unsur negatif di sebalik sesuatu perlawanan.
Di rumah, ibu bapa mesti memantau anak-anak mereka supaya tidak terbabit dengan perjudian membabitkan bola sepak ini.
Di sekolah, guru-guru mesti memainkan peranan menasihati anak-anak murid supaya tidak terjebak dengan amalan judi dan pertaruhan.
Apa-apa pun, PDRM dan pihak-pihak terbabit mestilah cekap menghidu sebarang bentuk perjudian membabitkan bola sepak Piala Dunia kali ini.
Kecekapan kaki judi yang mempelbagaikan kaedah berjudi mesti dikesan dengan pantas dan berkesan.
Kita tidak mahu unsur-unsur negatif dicampuradukkan dalam bidang sukan, sebaliknya biarlah sukan menyatupadukan penduduk dunia, bukan sahaja bagi negara-negara yang terbabit dalam perebutan Piala Dunia ini, tetapi seluruh penduduk dunia kerana bola sepak adalah sukan yang paling digemari dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar